Kritikan jujur terhadap Skolafund

March 20, 2017

:: Kemaskini selepas mendapat Direct Message di Twitter dari Skolafund

Saya yakin Skolafund dibina dengan niat baik iaitu mencari orang rezeki lebih beri sumbangan kepada pelajar yang memerlukan. Saya yakin pengasas dan kumpulan pembangun Skolafund, Wildan Zulfikar, Syakir Hashim, Tengku Syamil dan Faruq Rasid, semua mereka berniat baik. Masing-masing sebagai orang yang masih belajar di Universiti, melihat masalah wang dalam kalangan pelajar perlu diselesaikan. Saya yakin Skolafund dilahirkan oleh mereka untuk membantu pelajar Universiti. Niat mereka baik. Saya yakin.

Sayangnya niat yang baik sahaja, tidak menghalalkan cara. OK, saya tak nak jadi orang yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. Jadi saya cuma katakan Skolafund adalah sistem yang tidak baik.

Skolafund sesuatu yang tidak baik kerana menggalakkan pelajar meminta-minta. Meminta-minta bukan budaya yang baik dan dilarang dalam Islam.

Sebab itu saya rasa Skolafund tidak baik untuk pelajar kerana menggalakkan pelajar meminta minta.

Apa itu Skolafund

Laman web Skolafund

Sebelum cerita panjang, kenalah tahu dulu apa itu Skolafund. Secara ringkasnya Skolafund ialah sebuah laman web untuk pelajar, mengisi borang atas talian, tulis berapa banyak duit mereka nak dan tujuannya mesti berkaitan dengan pelajaran. Kemudian, maklumat itu di letak pada laman web untuk sesiapa pun baca. Orang yang membaca dan ingin membantu, boleh berikan sumbangan duit atau barangan (contoh: laptop).

Atau lihat penerangan secara grafik di Skolafund - How It Works.

Saya kenal Skolafund melalui artikel di Amanz tentang Skolafund yang tidak mendapat suntikan dana kerana tidak meyakinkan pelabur.

Buat masa ini tiada sebarang pelaburan yang diterima Skolafund memandangkan pendapat pelabur terhadap corak perniagaan sebegini yang berasaskan pembangunan sosial.
Bersama Skolafund – Membantu Pelajar Mengumpulkan Dana Pendidikan dari Amanz.my

Tujuan mereka baik, untuk memberikan pelajar fokus pada pembelajaran dan tidak dibebani hutang selepas tamat pembelajaran.

Larangan Meminta-minta

Namun, orang Islam dilarang meminta-minta. Allah melarang kita meminta-minta, mestilah sebab ianya tidak baik. Sesuatu yang tidak baik untuk orang Islam juga tidak baik untuk orang bukan Islam. Islam itu rahmat untuk sekalian alam.

(Apa yang kamu infakkan) adalah untuk orang-orang fakir yang terhalang (usahanya karena jihad) di jalan Allah sehingga dia tidak dapat berusaha di bumi; (orang lain) yang tidak tahu, menyangka bahwa mereka adalah orang-orang kaya karena mereka menjaga diri (dari meminta-minta). Engkau (Muhammad) mengenal mereka dari ciri-cirinya, mereka tidak meminta secara paksa kepada orang lain. Apa pun harta yang baik yang kamu infakkan, sungguh, Allah Maha Mengetahui.
[Al-Baqarah/2 : 273]
Sumber: almanhaj.or.id

Tidaklah seseorang terus meminta-minta hingga kelak pada hari kiamat ia menjumpai Allah sementara di wajahnya tak ada sekerat daging pun.
[HR. Muslim No.1725]
Sumber: mutiarahadits.com

Siapa yg meminta-minta kepada orang banyak untuk menumpuk harta kekayaan, berarti dia hanya meminta bara api. Sama saja halnya, apakah yg diterimanya sedikit atau banyak.
[HR. Muslim No.1726]
Sumber: mutiarahadits.com

Sungguh, seseorang dari kalian mengambil talinya lalu membawa seikat kayu bakar di atas punggungnya, kemudian ia menjualnya sehingga dengannya Allah menjaga wajahnya (kehormatannya), itu lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang lain, mereka memberinya atau tidak memberinya.
[HR Bukhari (no. 1471, 2075)]
Sumber: almanhaj.or.id

Alternatif yang lebih baik

Saya pun ada semangat entrepreneur, jadi saya faham keinginan menghasilkan sesuatu. Oleh sebab itu, saya cadangkan 2 alternatif yang saya pasti, lebih baik untuk pelajar.

  1. Berikan pelajar kerja
  2. Mudahkan institusi kerajaan atau zakat untuk menyampaikan sumbangan kewangan kepada pelajar

Berikan pelajar kerja

Semasa saya belajar di Jepun, saya lihat ramai kawan Jepun buat kerja sambilan (baito). Malahan, di sana, pelajar sekolah pun buat baito untuk cari duit tambahan. Sekiranya dilakukan dengan tidak melampau, bekerja secara sambilan adalah budaya yang baik.

Kerja sambilan selain memberi duit tambahan, boleh juga memberi pengalaman bekerja. Sekiranya kerja sambilan ialah pelayan cafe sedangkan bidang pengajian ialah kedoktoran kelihatan tidak berkaitan. Anda silap! Sebab bekerja sebagai pelayan cafe boleh memberi pengalaman berinteraksi dengan orang awam. Ini merupakan pendidikan secara tak langsung melatih bakal doktor berinteraksi dengan pesakit mereka nanti.

Yoshinoya Japan Image by WasahiWakui from Pixabay

Daripada minta orang sumbangkan wang. Kumpul individu atau syarikat yang boleh tawarkan kerja kepada pelajar. Yang memerlukan wang adalah pelajar Universiti. Mereka orang pintar. Kerja seperti memasukkan data, menulis artikel, menjawab kajian dan melakukan kajian adalah sangat sesuai serta boleh dilakukan secara atas talian.

Ya! Macam e-rezeki, tapi fokus untuk pelajar.

Cuma ada sedikit masalah. Masalah pekerja sambilan dibayar gaji kurang. Saya tak tahu undang-undang apa yang digunakan untuk mengurus pekerja sambilan. Tetapi, saya bersetuju yang gaji pekerja sambilan sepatutnya lebih mahal daripada pekerja tetap, kerana mereka tidak stabil dan boleh dibuang bila-bila masa.

Pekerja sambilan tidak mendapat insentif-insentif seperti pekerja tetap. Cuti bersalin untuk pekerja sambilan? Tak de lah kot.

Satu lagi masalah undang-undang ialah beza kontraktor dan pekerja sambilan. UBER mengaku yang mereka cumalah syarikat yang menyediakan platform. Setiap pemandu UBER adalah kontraktor dan pemandu UBER tidak mendapat kelebihan sebagai pekerja. Dalam istilah lain UBER menolak tanggungjawab sebagai majikan. Antara sebab saya beranggapan ride-sharing adalah sistem yang mengambil kesempatan terhadap keterdesakan hidup. Nak bukti? UBER sekarang dalam proses membina kenderaan pandu sendiri. Bukankah ini proses, membuang pemandu manusia yang telah membawa syarikat mereka ke tahap sekarang ini.

UBER ooo UBER. Saya dah lama nak menulis pasal UBER ni. Sejak syarikat teksi mengamuk di KL dulu lagi, tapi tertangguh-tangguh.

UBER cerita di hari kemudian. Sekarang saya mencadangkan Skolafund mengajar pelajar berusaha dengan cara menyediakan platform kerja untuk pelajar. Bukanlah mendidik pelajar meminta-minta seperti sekarang.

Tugas Skolafund perlu beralih kepada membantu pelajar menulis ayat meminta sedekah kepada mencari syarikat atau individu yang baik hati untuk memberi kerja dengan bayaran yang tinggi sikit daripada biasa.

Kepada syarikat yang menawarkan kerja pula, sistem ini merupakan serampang dua mata. Sebab syarikat juga boleh menilai tahap kebolehan pelajar tersebut. Jika ditakdirkan terjumpa pelajar berkebolehan, mungkin mereka boleh menyerap pelajar tersebut sebagai pekerja tetap syarikat.

Sistem ini jauh lebih baik dari meminta-minta.

Mudahkan institusi kerajaan atau zakat untuk menyampaikan sumbangan kewangan

Menjadi tanggungjawab pemimpin untuk membantu rakyat. Termasuk memberi sumbangan kewangan untuk pelajar.

Minta-minta itu merupakan cakaran, yang seseorang mencakar wajahnya dengannya, kecuali jika seseorang meminta kepada penguasa, atau atas suatu hal atau perkara yang sangat perlu
[HR At-Tirmidzi (no. 681), Abu Dawud (no. 1639)]
Sumber: almanhaj.or.id

Sekiranya, biasiswa tidak mencukupi, kerajaan perlu tahu. Sekiranya ada seseorang memerlukan zakat, institusi pengagihan zakat perlu tahu.

Saya pasti semua orang tahu, yang teknologi dalam sistem kerajaan penuh dengan kelemahan. Boleh jadi kerana orang yang mendapat jawatan dalam kerajaan ialah orang pandai berpolitik atau orang yang ada kabel.

Kita memerlukan satu sistem yang boleh menghubungkan institusi kerajaan dengan orang yang memerlukan. Kerajaan semestinya dah ada sistem tersendiri. Apa yang saya cadangkan di sini ialah menambahbaikkan dengan satu sistem yang lebih efisyen.

Kerajaan atau syarikat-syarikat yang tua biasanya akan kekal menggunakan sistem yang lapuk. Mungkin sebab kos untuk pembangunan sistem yang tinggi atau kerana sistem yang sedia ada masih berfungsi dengan baik.

Sekiranya kita boleh tukar telefon setiap tahun hanya kerana ia lebih canggih mengapa tidak sistem yang boleh membantu berjuta orang ramai tidak boleh diperbaharui?

Risau jika sistem baru memerlukan satu kursus baru untuk melatih pekerja? Perisian yang baik ialah perisian yang tak perlu tutorial. Apatah lagi satu kursus khas. Suatu sistem yang dibina dengan baik tidak perlu kursus 2-3 hari untuk mempelajarinya. Kecuali kepada ketua-ketua yang ingin mendalami sistem.

Saya berpendapat, menghubungkan institusi yang bertanggungjawab memberi dengan orang yang memerlukan jauh lebih baik daripada meminta-minta daripada orang ramai.

Saya berpendapat menambah keefisyenan sistem institusi bertanggungjawab menyampaikan bantuan jauh lebih baik daripada mengajar orang supaya meminta-minta.

Penutup

Pelajar-pelajar yang ada dalam senarai Skolafund sama ada yang telah menerima bantuan atau yang masih menunggu bantuan tidak bersalah. Mereka mungkin sangat memerlukan dan terjumpa jalan penyelesaian sebegini.

Walaubagaimanapun, sekiranya mereka berhenti meminta-minta dengan manusia dan hanya mengharapkan bantuan Allah. Pastilah dipermudahkan urusan mereka. Allah Maha Kaya, apalah sangat yang ada di dunia. Mintalah dengan Allah.

Kita pembangun yang membina teknologi baru untuk kebaikan umum, kadang-kadang tersilap kerana tidak memandang keseluruhan keadaan.

Adakah orang yang pendiam di mulutnya tetapi menaip, menulis dan menyebar fitnah dan cerita palsu di facebook, whatsapp itu tidak berdosa sebagaimana orang yang lancar mulutnya di kedai makan?

Adakah orang yang meminta-minta melalui sistem Skolafund berbeza dengan orang yang menadah tangan di pinggir jalan, di pagar masjid?

Niat tidak meng halal kan cara.

:: perkataan halal dalam ayat di atas adalah halal dalam Bahasa Melayu bukan halal dari segi syariat. Skolafund adalah HALAL dari segi syariat.


Kemaskini menjawab Direct Message di Twitter dari wakil Skolafund

Setelah memberi jawapan-jawapan tertentu, wakil Skolafund meminta kerjasama saya untuk meng edit atau memadam artikel ini.

Jawapan saya: Saya kemaskini artikel ini.

Saya tidak padam kerana saya rasa artikel ini sesuai untuk dibaca oleh pelajar sebagai panduan nak guna Skolafund atau tidak. Dengan harapan, mereka menjadikan Skolafund betul-betul-betul-betul-betul jalan alternatif lain selepas mengusahakan pelbagai cara lain. Seperti minta bantuan ahli keluarga, saudara-mara terdekat, saudara-mara yang jauh, minta zakat dan buat pinjaman.

Saya risau ada yang jadikan Skolafund jalan ringkas tanpa usahakan jalan-jalan lain.

Sesetengah orang berbelanja sakan dengan kad kredit, tapi sangat kedekut bila nak guna duit tunai. Sebabnya tak terasa hilang bila berbelanja dengan kad kredit berbanding guna tunai.

Sesetengah upah orang lain pukul orang lain. Sebab tak nampak orang yang dipukul tu, jadi mungkin rasa bersalah tu kurang. Padahal kesalahannya tetap sama.

Saya risau sesetengah orang tak pergi berjumpa dan minta bantuan secara berdepan mata dengan saudara-mara mereka.
Saya risau sesetengah tak berusahapun bangun pagi-pagi, pergi ke pejabat zakat dan isi borang berhelai-helai.
Semua orang tahu, isi borang di internet lebih mudah dari buat semua yang lain.

Jadi saya risau, takut-takut ada yang jadikan Skolafund jalan pintas.

Sebelum melancarkan Skolafund, pandangan agama telah dibincang. Hasilnya Skolafund dilancarkan atas pengecualian untuk orang meminta-minta.

Jawapan saya: Saya tidak mengatakan Skolafund tidak baik. Saya cuma mengatakan ada cara yang lebih baik.

Saya cuma tulis artikel dengan sebagai nasihat.

Skolafund pastikan pelajar betul-betul dari keluarga tak mampu dan sudah jalan-jalan lain. Ramai juga pelajar yang dah kerja part-time. Dari ratusan permohonan lagi banyak yang di reject.

Jawapan saya: Saya silap.

Sebagai sebuah laman web, content is king. Jadi saya sangka Skolafund tak teliti sangat tentang pemohon selain daripada confirm kan pelajar yang sah ke tidak.

Saya minta maaf.

Ramai juga pelajar dah kerja part-time tapi masih tak mencukupi.

Jawapan saya: Sebab tu saya cadangkan idea Berikan Kerja.

Pemohon Skolafund pelajar pandai dan berpotensi tinggi. Mereka sebenarnya malu kerana terpaksa gunakan Skolafund. Walaubagaimanapun mereka terdesak. Skolafund adalah ikhtiar terakhir mereka untuk teruskan pengajian mereka.

Jawapan saya: Sekiranya semua pemohon Skolafund hanya menggunakan Skolafund kerana terdesak. Sekiranya mereka hanya ke Skolafund selepas segala usaha lain dah dicuba. Skolafund adalah salah satu jalan HALAL untuk mereka. Ambillah. Sekiranya, kempen mereka di Skolafund berjaya, duit itu adalah rezeki yang untuk mereka.

Asalnya Skolafund ialah idea reward-based crowdfunding tapi atas kekangan tertentu konsep donation-based didahulukan. Salah satu dari kekangannya risau masyarakat dan pelajar kita tidak faham atau bersedia dengan konsep reward-based crowdfunding.

Jawapan saya: Reward-based crowdfunding adalah jual beli. Donation-based crowdfunding adalah meminta-minta.

Saya faham, untuk menghasilkan sesuatu benda baru, kita kena tengok market. Jadi saya faham keputusan yang diambil.

Skolafund first went online in April 2015 - Skolafund About Us

Lagi seminggu-dua nak April 2017 dah, mungkin Skolafund dah bersedia untuk bina reward-based crowdfunding? Kalau perlukan bantuan teknologi, MongoDB, Node.js dan sedikit DevOps adalah kepakaran saya.

Antara visi kami di Skolafund adalah untuk menyaksikan hari di mana pelajar tidak perlukan lagi Skolafund untuk meneruskan pembelajaran di peringkat tinggi

👍👍 TERBAIK !!! 👍👍

Wakil Skolafund menyatakan kerisauan artikel saya tulis ini, orang ramai akan salah faham tentang pelajar di Skolafund dan pelajar-pelajar tidak berani dan malu untuk memohon Skolafund.

Saya perlu pisahkan kepada 3 golongan manusia:

Kepada orang yang nak menyumbang atau dah memberi sumbangan di Skolafund

Saya tak tulis artikel ini untuk anda. Teruskan bersedekah, tak de larangan bersedekah. Skolafund telah menapis pemohon-pemohon, jadi tak de masalah. Semua pemohon adalah orang yang memerlukan.

Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, niscaya akan dilipatgandakan (pahalanya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak Surah Al-Hadid: 18

Orang kita kata nak senang kena banyak simpan duit
Tapi Islam kata nak senang kena banyak keluarkan duit

  • Syamsul Yusof [Lagu: Kalah Dalam Menang] 😆

Malah saya berpendapat beri sumbangan kepada pemohon di Skolafund mungkin lebih baik daripada memberi kepada peminta sedekah di tepi jalan. Sebab pemohon-pemohon di Skolafund telah ditapis dan disahkan betul-betul memerlukan. Malah kita tahu tujuan mereka.

Beza dengan peminta sedekah jalanan. Kita tak tahu mereka betul-betul memerlukan atau sekadar nak jadi kaya. Peminta sedekah di jalanan di Kuala Lumpur dikatakan mendapat RM 600 sehari. Cukup setahun dah boleh beli rumah bayar cash. Pastu buat sewa. Itu kalau yang pandai, kalau yang tak berapa bijak, buat beli dadah.

Jadi, kalau tengah-tengah makan, ada orang datang minta sedekah untuk buat bangunan sekolah tahfiz tapi anda tak yakin kesahihannya. Tolak dengan perkataan baik. Sampai rumah, bagi kepada pemohon Skolafund, mungkin lagi baik.

InshaAllah saya boleh tulis artikel 5,000 jumlah perkataan tentang memberi sumbangan.

Kesimpulannya, teruskan memberi.

Kepada pemohon-pemohon Skolafund

Jujur pada diri sendiri. Ikhtiar jalan-jalan yang lain. Islam melarang meminta-minta, jadi kalau boleh elak, elaklah.

Tapi Islam itu adil. Dibenarkan meminta dengan pemerintah, apabila berhutang dengan tujuan melangsaikan hutang dan apabila sangat memerlukan, bukan bertujuan nak tambah harta.

Artikel ini tidak ditujukan khusus kepada pelajar, tetapi secara tak langsung saya harap, saya boleh menambahkan kekeliruan pelajar.

Biar pemohon Skolafund, masa nak isi borang Skolafund, menangis-nangis, solat istikharah, bincang dengan orang lain (ibu bapa, kaunselor, kawan-kawan) dulu. Keesokannya barulah mohon Skolafund.

Mungkin Skolafund adalah salah satu jalan rezeki dari Allah untuk pelajar. Anda lebih tahu situasi diri anda. Allah Maha Mengetahui. Siap sedialah jawapan di akhirat nanti, kalau anda yakin jawapan tu lulus untuk masuk syurga. Mohonlah Skolafund. Ini urusan anda dan tuhan. Saya cuma menyampaikan nasihat.

Kepada pembangun Skolafund

Artikel ini khas ditujukan kepada pembangun Skolafund. Saya menulis untuk memberi nasihat.

Kita sebagai pembangun bertanggungjawab dengan produk yang kita bina.

Meminta-minta bukan budaya yang baik. Skolafund sendiri pun bersetuju dengan saya dengan visi Skolafund untuk hilang dari dunia.

Persoalannya kenapa utamakan donation-based (meminta-minta) sedangkan idea asal reward-based (jual beli)?

Risau pelajar dan masyarakat tak dapat terima?

A lot of times, people don't know what they want until you show it to them.

  • Steve Jobs

Membina Skolafund yang sedia ada sekarang pun mesti ada kekangannya juga. 2 alternatif yang saya nyatakan di atas (berikan pelajar kerja dan bantu menghubungkan agensi-agensi tertentu dengan pelajar) dan idea asal reward-based adalah jauh lebih baik. Sepatutnya ianya perlu diutamakan sebelum Skolafund yang sedia ada sekarang ini wujud.

Seperti pendahuluan artikel ini, saya yakin niat dan tujuan pembangun Skolafund mulia. Usaha Skolafund membina sistem, memberi pelajar peluang untuk meneruskan pelajaran adalah usaha yang sangat baik.

Setiap kempen yang berjaya, pelajar tersebut terhutang budi dengan sistem Skolafund, pekerja-pekerja Skolafund dan semestinya pemberi sumbangan.

Cuma sebagai orang yang melihat dari luar, saya nampak ada silap. Saya kritik.

Penutup ke-2

Skolafund adalah baik. Skolafund membantu pelajar-pelajar yang pandai-pandai untuk mencapai impian mereka dengan mengatasi masalah duit. Saya pun tidak suka dengan dunia memerlukan duit ini.

Saya juga tidak bersetuju mengatakan Skolafund jalan terakhir. Skolafund antara jalan di hujung-hujung, selepas usaha-usaha lain dicuba. Cuma saya berpendapat duit pinjaman dari cara yang betul dengan niat nak bayar balik lebih baik dari meminta-minta.

Saya masih berpegang, pelajar yang memohon tidak ada salahnya, kita pembangun yang bersalah kerana membuka jalan ini.

Sebagaimana UBER hadir kerana sistem teksi bermasalah, saya rasa Skolafund hadir kerana sistem pendidikan, sistem bantuan kewangan oleh kerajaan dan institusi pengagihan zakat yang bermasalah.

Pendapat saya, sebagaimana UBER takkan menyelesaikan masalah teksi begitulah Skolafund takkan dapat menyelesaikan masalah kewangan pelajar secara keseluruhan.

2023, Built with Gatsby

Hire MeNota & idea