Sifat Solat Nabi 05 - Kedudukan Tangan dalam Solat Semasa Berdiri

Nak perkembangan terbaru tentang fajarhac dan projek 11 startup 11 bulan (#11s11b) dengan segera? Sila follow saya di Twitter @fajarhac.

Alhamdulillah infografik kelima siap.

sifat solat nabi 05 - infografik kedudukan tangan semasa berdiri

Saya membuat keputusan untuk menghasilkan infografik sebagai ringkasan daripada pembacaan buku Solat Bersama Nabi S.A.W tulisan Muhammad Nasiruddin al-Albani terbitan Al-Hidayah Publications. Semoga infografik ini dapat membantu saya untuk mengimbas balik pembelajaran dari buku tersebut. Selain itu, saya juga berharap pembaca sekalian juga memperoleh sedikit sebanyak daripada infografik ini.

Perkara yang dibincangkan dalam infografik

Dalam solat selepas takbir, di mana pembaca meletakkan tangan pembaca? Di sisi, di perut atau di dada? Pernah tak pembaca mendengar atau melihat orang melepaskan tangan lurus ke sisi paha? Demi Allah berdasarkan hadis yang dinyatakan diatas, meletakkan tangan di dada, dengan tangan kanan di atas tangan kiri adalah sunnah Rasulullah s.a.w.

Nabi s.a.w. bersabda,

” Solatlah sebagaimana kamu semua melihat aku solat “

[HR Bukhari, Muslim dan Ahmad]

Imam Muhammad Nasiruddin al-Albani yang juga merupakan pakar hadis, memasukkan kebanyakan hadis sahih supaya kita tidak ada alasan untuk menolaknya. Cara meletakkan tangan dalam infografik bertepatan dengan hadis.

Kadang kala, Rasulullah s.a.w. menunjukkan cara berbeza, tetapi tidak membatalkan cara sebelumnya. Contoh cara meletakkan tangan ada tiga tempat iaitu di atas telapak tangan kiri, pada pergelangan dan pada lengan. Seperti yang saya nyatakan dalam artikel lepas pada masa bertakbir dan mengangkat tangan, setiap sunnah pasti ada hikmah tersendiri. Oleh sebab itu, marilah mengamalkan semuanya secara bergilir-gilir. Alangkah indahnya setiap kali kita meletakkan tangan sebegini dan sebegitu, kita akan teringat bahawa ini cara Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini dan itu.

Gambar bentuk hati itu adalah inisatif saya untuk menggambarkan tempat letak tangan adalah di dada. Sebab itu saya masukkan perkataan ‘di dada’ dalam infografik agar pengguna faham. Saya tidak tahu bagaimana nak gambarkan dada, jadi saya gunakan gambar hati kerana di dada adalah letaknya hati. Walaubagaimanapun, saya jelaskan disini bahawa tempat letak tangan ialah di dada bukan hati. Secara kebetulan sahaja hati kebanyakan orang letaknya di dada.

Terdapat penjelasan yang lebih baik di dalam buku asal. Ada juga penerangan mengenai perbezaan pendapat dalam kalangan pendukung mazhab Hanafi. Tunggu apa lagi? Dapatkan dan baca buku asal. Pautan buku asal di atas bukanlah affiliate, dan saya tidak mendapat satu sen pun di dunia ini sekiranya pembaca klik padanya. Pembaca juga boleh buat carian di kedai buku pilihan sendiri. Tetapi jangan salah buku. Perhatikan betul-betul siapa penulisnya. Jangan lupa baca buku asal.

Perkara yang saya belajar dari segi grafik

  1. Garis condong. Di sini saya guna garis condong 45 darjah. Dalam kepala saya sepatutnya lebih menarik, tapi bila siap, tak berapa memuaskan hati. GIMP tidak mempunyai fungsi untuk membuat teks mengikut bentuk kotak, jadi saya terpaksa membesar kecil secara manual dan mengagak-agak saiz yang terbaik (Inkscape ada fungsi ini). Saya juga cuba mencondongkan tulisan pada 45 darjah, sayangnya, tulisan menjadi tidak jelas, jadi saya kekalkan tulisan lurus ini. Inkscape akan memaparkan teks dengan jelas sebab Inkscape ialah perisian vektor grafik tetapi saya tidak tahu apa akan berlaku selepas di ubah ke fail PNG. Perlukah saya berpindah ke Inkscape?

  2. Saya tak puas hati dengan infografik kali ini. Seolah-olah ada sesuatu yang hilang. Semoga infografik akan datang lebih menarik.

Infografik ini, tidak di lesen. Pembaca berhak berbuat sesuka hati pembaca dan saya tidak akan bertanggungjawab.

Sila tinggalkan komen dibawah, sekiranya pembaca menjumpai sebarang kesilapan dalam infografik ini. Hantarkan orang ke blog saya juga seandainya pembaca meletakkan infografik ini di laman-laman lain. Tapi bukanlah keperluan, sekadar permintaan.

⬅ Sifat Solat Nabi 04 - Niat dan Takbir BARU Sifat Solat Nabi 06 - Memandang tempat Sujud dan Khusyuk dalam solat ➡

Artikel Terkini

Follow saya di Twitter @fajarhac

comments powered by Disqus