Sifat Solat Nabi 08 - Rukuk

Nak perkembangan terbaru tentang fajarhac dan projek 11 startup 11 bulan (#11s11b) dengan segera? Sila follow saya di Twitter @fajarhac.

Alhamdulillah infografik kelapan siap.

infografik rukuk solat ikut nabi

Saya membuat keputusan untuk menghasilkan infografik sebagai ringkasan daripada pembacaan buku Solat Bersama Nabi S.A.W tulisan Muhammad Nasiruddin al-Albani terbitan Al-Hidayah Publications. Semoga infografik ini dapat membantu saya untuk mengimbas balik pembelajaran dari buku tersebut. Selain itu, saya juga berharap pembaca sekalian juga memperoleh sedikit sebanyak daripada infografik ini.

Perkara yang dibincangkan dalam infografik

Sebelum tu, saya ingin memberitahu, dalam siri ini, saya tidak akan masukkan bacaan. Saya bercadang untuk membuat siri tambahan kepada siri ini. Dalam siri tambahan itu nanti saya akan masukkan bacaan-bacaan dalam solat. Hal ini kerana saya tidak nampak bacaan-bacaan dalam solat yang kita diajar selama ini bersalahan dengan sunnah. Namun kesilapan kita ialah, kita cuma mengamalkan satu bacaan saja, walhal ada banyak lagi bacaan-bacaan lain. Dalam rukuk sahaja misalnya, ada 7 zikir. Sebab itu saya tak pernah berhenti menasihatkan pembaca supaya membaca buku asal dan menganggap infografik ini sekadar ringkasan semata-mata. Jika pembaca perasan, saya terus membuat infografik tentang rukuk selepas infografik tentang bacaan al-Fatihah. Tidak bermakna saya mengatakan tak perlu baca ayat al-Quran. Lihat hadis terakhir dalam infografik ini, solat yang sempurna, mengandungi perbuatan membaca ayat-ayat al-Quran yang mudah. Oleh itu, jangan ditinggalkan dengan alasan ianya sunat. Ingat balik tujuan infografik ini dibuat. Iaitu untuk menjadi muslim yang berjaya. Untuk itu, kita perlu khusyuk dalam solat. Untuk khusyuk kita belajar solat sebagaimana solat Rasulullah S.A.W.

Dalam infografik kali ini, saya memasukkan tentang rukuk. Pertama, perbuatan bertakbir sebelum rukuk. Saya tak ingat pun ada orang yang tidak bertakbir, tapi saya selalu nampak orang yang tidak mengangkat tangan semasa bertakbir sebelum rukuk. Kadang-kadang apabila saya bersolat ditepi orang yang tidak mengangkat tangan, saya pun jadi teragak-agak untuk mengangkat. Kadang-kadang saya terikut untuk tidak mengangkat. Alhamdulillah kini saya ditemukan oleh Allah hadis yang jelas mengarahkan mengangkat tangan. Sekiranya pembaca mengatakan pembaca tidak mengangkat tangan kerana mazhab itu dan ini. Apa yang saya boleh katakan ialah lihat alasan Imam mazhab tersebut kenapa mereka tidak mengangkat tangan. Hampir semua 4 Imam mazhab yang popular (Maliki, Syafii, Hanafi, Hambali) mengatakan, sekiranya hadis itu sahih, maka itulah mazhabku. Saya ringkaskan perkataan imam-imam dalam Infografik perkataan para Imam supaya mengutamakan al-Quran dan Sunnah . (ini infografik awal2 dulu, tak lawa kan)

Seterusnya, diajarkan oleh Rasulullah tentang cara rukuk. Bahawa, kita hendaklah meluruskan belakang badan, meletakkan tangan pada lutut dan merenggangkan jari-jemari. Begitu jelas kita diajar oleh Rasulullah S.A.W. Kadang-kadang selepas melihat hadis-hadis dalam buku ini, saya hairan, walaupun kita melakukan bertepatan dengan hadis, tetapi mengapa selama ini, saya rasa macam tak pernah dengar. Mungkinkah saya sebelum ini, tidak mengambil perhatian tentang sunnah Nabi S.A.W. ? Atau mungkinkah ustaz-ustaz yang mengajar tidak membawa hadis-hadis semasa mengajar? (Yang saya rasa tak mungkin sebab buku agama mana yang tiada hadis di dalamnya?) Mungkin kita semasa kecil tidak diajar untuk menghormati, memberi penekanan terhadap sunnah Rasulullah? Semoga infografik ini dapat mengembalikan kita kepada al-Quran dan Sunnah.

Berhenti seketika (tuma’ninah) ketika rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud juga dipesan oleh Rasulullah S.A.W. dalam bentuk perkataan. Saya rasa tiada masalah sekiranya kita solat bersama imam. Namun, andainya kita solat sendiri, selalu sangat terkejar-kejar. Membaca ayat al-Quran tergesa-gesa, belum sempurna rukuk dah nak berdiri dan sujud yang lalai. Saya tak ceritakan anda atau orang lain. Saya katakan diri sendiri. Semoga dengan hadis-hadis menyuruh tuma’ninah yang banyak terdapat dalam buku asalnya, dapat mengingatkan saya pada setiap ketika.

Ya, hadis-hadis dalam buku ini. Saya cuma masukkan satu hadis tentang tuma’ninah dalam infografik ini. Pembaca mungkin nak tahu hadis-hadis lain kan? Saya cuma boleh katakan satu saja iaitu, baca buku asal. :-)

Saya tak nak pesan untuk kali kedua supaya pembaca membaca buku asal. :-)

Perkara yang saya belajar dari segi grafik

  1. Tak nampak macam komik? Saya terbaca di blog hasrulhassan (antara blog yang popular di Malaysia) artikel blog kartun malaya perlukan pendedahan. Saya pun mengikut pautan itu dan menjumpai sebuah blog yang ada kartun. Komen saya terhadap blog itu ialah tiada. Tapi terima kasih untuk blog tersebut kerana memberikan saya ilham untuk menghasilkan infografik seolah komik ini.

  2. Comic Neue. Tulisan yang dibina untuk memperbaiki Comic Sans. Saya cuba guna tulisan ini berbanding Comic Sans. Nampak moden sikit. Siap ada yang light juga.

  3. GIMP - Filters->Distort->Newsprint. Saya gunakan untuk menghasilkan efek bulat-bulat dibelakang gambar ikon bertakbir dan rukuk. Saya jarang guna efek-efek dalam GIMP sebab saya lebih selesa buat satu-satu supaya saya lebih bebas untuk mengubah. Asalnya saya ingin membuat satu-satu bulatan, susun dan salin tampal. Nasib baik, saya cuba juga bermain dengan Filters, amat menjimatkan masa. Mungkin saya perlu belajar menggunakan Filters dengan lebih banyak lagi, sebab sangat-sangat memendekkan masa.

  4. Mode pada layer. Saya selalu gunakan ini untuk membuat efek seperti pencahayaan. Antara mode yang selalu digunakan ialah screen, soft light dan hard light.

Infografik ini, tidak di lesen. Pembaca berhak berbuat sesuka hati pembaca dan saya tidak akan bertanggungjawab.

Sila tinggalkan komen dibawah, sekiranya pembaca menjumpai sebarang kesilapan dalam infografik ini. Hantarkan orang ke blog saya juga seandainya pembaca meletakkan infografik ini di laman-laman lain. Tapi bukanlah keperluan, sekadar permintaan.

⬅ Sifat Solat Nabi 07 1/2 - Berehat dan Muhasabah BARU Sifat Solat Nabi 09 - Iktidal ➡

Artikel Terkini

Follow saya di Twitter @fajarhac

comments powered by Disqus