Bagaimana saya belajar buat aplikasi android

Nak perkembangan terbaru tentang fajarhac dan projek 11 startup 11 bulan (#11s11b) dengan segera? Sila follow saya di Twitter @fajarhac.

Seorang sahabat bertanya macam mana saya boleh pandai buat aplikasi android ini? Saya jawab, saya cuma belajar sendiri dari sumber-sumber percuma di internet terutamanya Youtube. Jawapan yang ringkas sahaja.

Tapi, bila difikir balik mungkin ramai yang nak belajar android ni tapi tak tahu cara yang terbaik. Macam saya sendiri awal-awal dulu. Sebab itu saya tulis artikel ini sebagai panduan kepada orang-orang yang berminat membuat aplikasi android sendiri.

android marshmallow

Gambar oleh Pasi Mämmelä dari Pixabay

Kenapa saya belajar android?

Saya tak bermula dengan android. Saya berminat dengan komputer dari dulu lagi, masa zaman Pos Malaysia buat promosi sebuah rumah sebuah komputer, oda saja (tahun 2000 kot). Alhamdulillah ayah saya terpengaruh dengan kempen ini, dan dapatlah saya sebuah PC.

Tapi sayangnya, gatal tangan, dikobek sana sini, rosak PC. Tanpa komputer, saya tidak belajar pasal komputer, saya tak tahu sangat pasal komputer. Sehinggalah saya melanjutkan pelajaran ke Universiti, dapatlah saya laptop sendiri. Dari situ barulah saya belajar pasal sendiri-sendiri. Alamak, terpengaruh dengan ayat puisi semalam. Haha.

Jadi nasihat pertama, sekiranya benar-benar nak belajar pengaturcaraan komputer, dapatkan satu laptop atau PC untuk diri sendiri.

Saya mula belajar dengan buat web. Saya juga cadangkan kalau pembaca baru nak bermula belajar programming, belajar buat web dan belajar asas pengaturcaraan dengan JavaScript. Kebanyakan pendidikan formal (sekolah dan universiti) akan mengajar asas pengaturcaraan dengan bahasa C, tapi saya tak galakkan guna C untuk belajar sendiri sebab motivasi anda lebih baik jika bermula dengan buat web.

Sampailah suatu masa, kalau tak salah, semasa android Froyo diperkenalkan, saya mula tertarik dengan android. Pada masa yang sama, saya memiliki sebuah iPod Touch dan sangat ketagih menggunakan aplikasi-aplikasi dalamnya. Saya selalu berangan menggunakan aplikasi yang saya buat sendiri di mana-mana saya berada sebab dengan iPod Touch, saya boleh bawa ke mana-mana, tak macam laptop.

Sebagai pengguna Ubuntu dan lain linux distro, saya sangat sukakan android. Saya sukakan idea tentang kebebasan android. Selain itu, kos untuk bina aplikasi android boleh dikatakan kosong berbanding dengan aplikasi untuk iOS yang memerlukan sebuah Mac.

Masa tu saya cuma pandai buat web asas guna HTML, CSS dan sikit JavaScript. Tak begitu kuat pun asas pengaturcaraan saya. Tak pernah pun belajar Java. Dalam takut-takut, saya terjun ke dalam android. Nasihat kedua, terjun je. Jangan fikir banyak.

Dari ahli terjun ke ahli terbang

Maksud dari ahli terjun ke ahli terbang ni, mula-mula saya terjun je, ikut graviti tak boleh kawal, tapi lama-lama dah pandai, dah boleh kawal itulah maksud ahli terbang. Puitis tak?

Saya mula belajar android secara berkesan daripada mengikuti video-video tutorial di Youtube. Caranya ialah saya ikut bersama semasa video itu berjalan. Saya tidak tonton sahaja, tapi tangan saya turut bergerak sama. Saya ada dua monitor (sekarang pun), sebelah saya pasang video dan sebelah lagi saya ikut buat. Kadang-kadang terlambat, saya pause. Inilah cara saya.

Ada banyak video tutorial android di Youtube, berikut saya senaraikan 3 playlist yang saya suka dan paling memberi kesan.

1 Android App Development Tutorial dari TheNewBoston

Dalam siri di atas, ada sebanyak 200 buah video, yang disusun dengan teratur. Saya tak ingat sama ada saya tengok sampai 200 atau tidak, tapi yang saya pasti, saya tengok lebih 100, sebab pada video ke-100 Bucky (orang yang buat video) ada ucapkan tahniah kerana berjaya sampai ke-100.

Cara penyampaiannya yang santai, sedap didengar dan tak bosan. Selain dari video tutorial android, saya juga belajar video tutorial Java dari orang yang sama.

Cuma satu saja masalah, ini video lama. Dia menggunakan Eclipse. Sedangkan Google sendiri telah membina Android Studio sebagai IDE utama untuk pembangunan aplikasi android. Dulu masa belajar, android studio masih dalam peringkat beta, jadi saya beruntung kerana belajar awal, masa Eclipse masih IDE utama untuk buat aplikasi android.

Sebab video ini dah lama, ada beberapa praktis yang telah ketinggalan dan tidak sesuai digunakan lagi kini.

Saya tak tahu nak cakap macam mana. Siri video tutorial ini, bagus untuk belajar asas, tapi sebab terlalu banyak perubahan yang berlaku pada android, saya rasa mungkin ada alternatif lain yang lebih baik.

Anda tahu ada alternatif yang lebih baik? Tinggalkan komen di bawah.

KEMASKINI 10/12/2015 : TheNewBoston ada playlist baru untuk beginner yang nak belajar android. Saya tak tonton lagi video tu. Tapi sebab TheNewBoston, saya yakin kualitinya terbaik. Lagilah, tutorial kali ini, guna Android Studio dan gradle.

2 Video Bootcamps Marakana

Saya tak ingat siri yang mana. Cuma buat carian “marakana android ” di youtube, anda akan jumpa.

Video ini ialah rakaman semasa dia mengajarkan sekumpulan pelajar tentang android. Berbeza dengan TheNewBoston tadi, video ini lebih formal.

Namun yang bagusnya ialah, penyampainya menerangkan sesuatu lebih jelas dan diberikan kefahaman kenapa sesuatu itu dibuat begitu, bukan main ikut saja. Tambahan, kita boleh dengar soalan-soalan yang diajukan oleh pelajar-pelajarnya.

Saya suka video ini sebab dia beri kefahaman bukan taklid buta (main ikut saja). Tapi saya tak habiskan siri ini, sebab darah muda saya cuma ingin menghasilkan sesuatu, jadi saya beralih ke thenewboston 200 video tu. Lebih cepat boleh buat benda.

Siri video ini pun mengajar menggunakan Eclipse.

3 Material Design dari slidenerd

Siri video ini, baru sahaja saya ikuti. Saya suka penyampaiannya yang menggabungkan santai dan penerangan terperinci tentang code yang ditulis. Penyampainya juga mendidik penontonnya supaya menggunakan documentation untuk memahami sesuatu API. Ini adalah praktis yang terbaik.

Selain dari itu, siri video ini menggunakan android studio dan mengajarkan Material design. Teknologi dan praktis terkini. Pada saya ianya adalah serampang dua mata.

Saya juga suka video ini, sebab penyampainya seorang yang pemalas. Kenapa? Sebabnya, tengok siri ini, dan anda akan faham. Atau cuba faham-faham dari gambar di bawah.

I choose a lazy person to do a hard job. Because a lazy person will find an easy way to do it. - Bill Gates

AZ Quotes

Cuma satu sahaja yang saya tak berapa suka dari siri video ini, iaitu slang India penyampainya. Tapi mungkin sebab saya juga biasa dengar Zakir Naik, jadi walaupun tak berapa sedap di telinga, tidaklah sampai membenci. Setelah lama-lama, jadi biasa, tak terasa kekok lagi dengan bunyi slang India tu.

Namun, ini pendapat saya ketika saya telah pun menghasilkan beberapa aplikasi untuk android. Jadi saya tak pasti sama ada siri ini sesuai untuk orang yang baru nak bermula. Tetapi mungkin ada lain-lain siri dari slidenerd yang sesuai. Carilah.

Selain dari video

Yang di atas antara siri video yang saya ikut untuk belajar android. Masih banyak lagi video lain yang ada di dunia tanpa sempadan ini. Sekiranya, pembaca ada yang nak dikongsi, tinggalkan komen di bawah.

Belajar dari video lebih menjadi dan meninggalkan kesan kepada saya berbanding membaca buku. Walau bagaimanapun, ada beberapa buku dan web yang saya turut ikut sebab video tak beberapa sesuai untuk dijadikan rujukan.

Saya kumpulkan rujukan dan pautan-pautan yang membantu saya dalam dunia pengaturcaraan ini di Trello pada My Go To Board board, sebahagian dari senarai itu adalah khusus untuk android.

Kesimpulan

Saya pandai android dengan cara belajar dari video-video percuma dari youtube. Ini cara saya. Setiap orang ada cara belajar masing-masing. Internet adalah lubuk ilmu. Belajarlah.

Kepada pembaca yang berminat untuk belajar android, saya cadangkan carilah sumber yang sesuai dengan gaya belajar anda. Carilah sendiri. Sebagaimana anda mencari dan terjumpa artikel ini, teruskan mencari supaya anda berjumpa dengan video, buku atau artikel yang sesuai dengan anda.

Cari tutorial yang tersusun dan menggunakan android studio atau inteliJ IDEA. Sebab kedua-dua IDE ini, akan memudahkan pembelajaran anda.

Semoga artikel kali ini, bolehlah dijadikan panduan untuk orang yang baru nak mula buat aplikasi untuk android. Sekian.

⬅ Idea si penjahat licik BARU Perlukah semua orang belajar coding ➡

Artikel Terkini

Follow saya di Twitter @fajarhac

comments powered by Disqus