Pendapat Saya Tentang Majlis Pertunangan

Nak perkembangan terbaru tentang fajarhac dan projek 11 startup 11 bulan (#11s11b) dengan segera? Sila follow saya di Twitter @fajarhac.

Saya menghadiri satu majlis pertunangan dan ini pendapat saya. Sebelum itu biar saya beritahu saya belum berkahwin atau bertunang dan jarang hadiri majlis pertunangan orang.

Tapi bila melihat majlis pertunangan sepupu hari ini, saya tergerak untuk meluah pendapat. Sekadar pendapat, berasaskan sedikit pengetahuan dan emosi.

  1. Pertunangan adalah satu langkah mendekatkan diri kepada perhubungan yang halal iaitu berkahwin. Jadi saya rasa, sekurang-kurangnya tetapkanlah tarikh untuk bernikah. Janganlah cakap sekadar tahun depan. Setiap tahun ada 12 bulan, paling tidak pun agak-agaklah bulan berapa. Sekiranya ada masalah, bila tiba masa yang dijanjikan, kita boleh tunda. Tapi tanpa tarikh nikah yang jelas, saya merasakan keyakinan orang untuk berkahwin tu tak jelas. Saya tak kata orang yang tidak menetapkan tarikh itu, sebenarnya tak nak berkahwin. Saya cuma berpendapat, orang yang betul nak kahwin, ada matlamat yang jelas. Sebab dalam semua hal matlamat yang jelaslah yang membuatkan seseorang itu berusaha.

  2. Beritahulah harga duit hantaran dan mas kahwin. Tidak boleh malu-malu, sebab kita risau sikap malu untuk katakan nilai pada waktu pertunangan ini akan menjadikan keluarga tidak berpuas hati pada masa perkahwinan nanti. Jadi, saya berpendapat supaya kita memikirkan masa depan, pada majlis pertunangan, ada yang ramai yang boleh menjadi saksi, jadi inilah masa yang terbaik untuk berbincang. Segalanya demi masa depan lelaki dan perempuan dan keluarga masing-masing.

  3. Duit hantaran biarlah lepas untuk pihak perempuan buat belanja majlis kahwin. Masyarakat kita ada masalah meletakkan harga hantaran yang tinggi. Tapi kita kena tahu, punca masalah ini datang dari belanja majlis kahwin yang besar-besar. Saya faham bahawa mas kahwin adalah hak perempuan yang dinikahi sendirian dan haram diguna oleh orang lain, kecuali dengan izin perempuan tersebut. Manakala, duit hantaran pula boleh digunakan oleh ibu bapa untuk majlis dan untuk kegunaan peribadi sekalipun. Sebab itulah, kadang-kadang duit hantaran itu sangat tinggi sebab ibu bapa yang inginkannya. Selagi budaya buat majlis kahwin makan besar-besaran tidak dihapuskan, selagi itu, duit hantaran akan jadi tinggi, mencecah RM5k dan ke atas.

  4. Janganlah buat majlis kahwin dan meminta duit. Saya faham, apabila kad menulis majlis kesyukuran, maka kita boleh datang makan free, tapi bila tiada perkataan “kesyukuran”, ia bermaksud kita perlu bersalam dan hulurkan duit bila makan majlis tersebut. Bersedekah adalah terbaik dan mendapat pahala. Tetapi membuat majlis untuk mendapat duit adalah perbuatan meminta sedekah. Rasululullah melarang meminta sedekah. Orang yang menghadiri majlis kerana jemputan yang wajib perlu dihadiri. Orang yang datang dengan perasaan saudara dan kasih sayang. Dah tu, kenapa kita minta duit dari mereka? Saya rasa masalah ini datang dari duit hantaran yang sedikit, tidak cukup untuk biaya majlis kahwin pun. Duit hantaran yang sedikit datang dari tidak jelas perbincang antara ibu bapa pada majlis pertunangan.

  5. Permudahkan perkara baik dan halal tetapi jangan lupa untuk buat dengan jelas dan nyata. Bertunang mendekatkan kepada perkahwinan, tetapi sekiranya tidak jelas, saya risau timbul masalah lain seperti saya nyatakan di 1, 2 dan 3.

Lakukan sesuatu dengan jelas dan nyata. Atau kalau kita guna perkataan barat, lakukan sesuatu dengan sistematik.

Walaubagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat tidak perlu lagi bertunang, kerana matlamat bertunang adalah kenal antara lelaki dan perempuan. Tetapi, sekiranya, lelaki telah pun lihat rupa perempuan dan perempuan telah pun melihat lelaki, dan masing-masing kenal antara satu dengan yang lain. Jadi saya setuju bahawa tidak perlu lagi bertunang, teruskan berkahwin.

:: sekadar pendapat
:: nasihat untuk diri sendiri, lain kali, aku lebih baik berdiam kecuali, aku yang diberikan amanah =)

⬅ Baca blog Medium yang telah di blok kerajaan tanpa vpn atau proxy BARU Semak ejaan bahasa melayu di Sublime Text ➡

Artikel Terkini

Follow saya di Twitter @fajarhac

comments powered by Disqus