Belajar C++ (3) : Arahan Linux

October 21, 2012

Macam biasa pada permulaan saya akan mengulangkaji sedikit berkenaan artikel yang lepas. Artikel yang lepas menceritakan tentang penyediaan sistem. Sekiranya saudara/i mengikuti sepenuhnya dan menjalankan apa yang diajar pada artikel lepas bermakna komputer/laptop yang berada di depan mata sekarang sudah siap untuk belajar pengaturcaraan bahas C++/C. Selagi saya memohon maaf kepada pengguna Windows ( XP, 7, 8) kerana tidak menjelaskan langkah demi langkah penyediaan bagi sistem saudara/i.

Arahan dalam sistem linux/unix. Kenapa perlu belajar arahan-arahan linux ini sedangkan jika pengaturcaraan menggunakan sistem Windows, arahan-arahan linux ini langsung tidak digunakan? Sebagai pelajar Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, saya (kami) bukan sahaja menggunakan pengaturcaraan di sistem Windows semata-mata, malahan kemungkinan besar kami terpaksa mengaturcara di sistem linux/unix. Contoh sistem di dalam sebuah kereta misalnya, adalah menggunakan linux, oleh itu pengetahuan tentang arahan linux ini menjadi satu kemestian pada waktu itu.

Mari kita mulakan pembelajaran. Pengguna Ubuntu sekalian, sila jalankan aplikasi terminal Ctrl + Alt + t saudara.

  1. ls

    Taip ls dan Enter. Saudara akan mendapati senarai direktori ( folder ), fail.

    Sekarang buka nautilus dan saudara akan dapati apa yang disenaraikan di terminal sama dengan apa yang disenaraikan di nautilus.

    ls adalah arahan yang merupakan singkatan untuk perkataan list, yang membawa maksud senaraikan.

    Senang kata, dengan menaip ls samalah seperti saudara berkata kepada kepada komputer,

    Hoit komputer, senaraikan apa yang ada dalam direktori ini 😎

    Apa itu direktori (directory/dir) dan fail (file)?

    Buka nautilus, yang gambarnya seperti folder direktori itu adalah direktori dan selain dari itu adalah fail.

  2. cd (change directory) atau tukar ke direktori, bergerak ke direktori setiap kali saudara memulakan terminal, saudara akan mendapati tulisan seperti :

    namapengguna@namakomputer :~$
    

    Sebelum menyatakan maksudnya, lebih baik jika saudara/i mencuba arahan cd ini dulu dan fikirkan tentang maksudnya sendiri terlebih dahulu. Baik untuk pembelajaran apabila kita meneka sesuatu berdasarkan pengetahuan sedia ada.

    Taip cd Downloads/ dan Enter. Kemudian taip ls dan Enter.

    Sekarang buka nautilus dan klik dua kali (double click) pada direktori Downloads. Apa yang tersenarai di terminal sama dengan di nautilus sekarang.

    Kali ini saudara mendapati terminal seperti,

    namapengguna@namakomputer :~/Downloads$
    

    Ini bermaksud saudara berada di direktori Downloads. Taip cd dan Enter untuk kembali ke home.

    Dengan ini saya harap saudara mengerti bahawa aksara di antara : dan $ adalah direktori saudara berada.

    Tambahan, tahulah kita bahawa simbol ~ membawa erti direktori home kepada pengguna sekarang.

    Sebelum meneruskan kepada arahan seterusnya eloklah sekiranya saudara bermain-main dengan arahan ls dan cd ini dulu. Di nautilus, buat beberapa direktori sebagai perkakas-perkakas permainan ketika bermain-main dengan arahan ls dan cd ini.

    Tip tambahan:
    pada direktori home taip cd Down dan Tab, secara automatik ia akan berubah jadi cd Downloads/. Ini merupakan jalan pintas yang menyenangkan hidup.

  3. mkdir (make direktori) atau buat direktori baru

    user@user-desktop:~$mkdir	nama_direktori
    

    Arahan ini menghasilkan direktori baru bernama nama_direktori di dalam direktori home, untuk memahami dengan lebih jelas, paling baik jika saudara mencuba dan lihat perubahan pada nautilus.

3 arahan di atas cukup untuk membuatkan saudara/i meninggalkan nautilus.

Nautilus adalah pengurus fail ( file manager ), bagi Windows benda yang sama dengan nautilus dipanggil windows explorer = explorer.exe manakala di OpenSUSE ialah Dolphin.

Jika saudara mengetahui apa itu Persekitaran Desktop ( Desktop Environment ; KDE, Gnome, XFCE dll ), sebuah komputer tanpa persekitaran desktop sudah pun dinamakan komputer dan boleh berfungsi penuh sebagai komputer DAN pada waktu itu, mengetahui arahan-arahan ini di atas adalah kemestian.

Cukuplah untuk artikel kali ini. Artikel akan datang adalah sedikit sambungan kepada artikel kali ini.

Sebelum meneruskan ke artikel seterusnya, saya berikan saudara/i latihan.

Latihan: Sila hasilkan sebuah direktori dengan nama "belajar c" di dalam direktori home. Selepas ini segala fail yang dihasilkan akan disimpan di direktori ini.

2023, Built with Gatsby

Hire MeNota & idea