Alhamdulillah infografik keenam siap.
Saya membuat keputusan untuk menghasilkan infografik sebagai ringkasan daripada pembacaan buku Solat Bersama Nabi S.A.W tulisan Muhammad Nasiruddin al-Albani terbitan Al-Hidayah Publications. Semoga infografik ini dapat membantu saya untuk mengimbas balik pembelajaran dari buku tersebut. Selain itu, saya juga berharap pembaca sekalian juga memperoleh sedikit sebanyak daripada infografik ini.
Perkara yang dibincangkan dalam infografik
Pertama saya masukkan hadis menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w menundukkan kepala melihat ke tempat sujud semasa solat. Inilah yang saya pelajari selama ini dan saya yakin pembaca sekalian juga. Cuma kali ini, bolehlah kita perteguhkan lagi perbuatan kita dengan mengetahui hadis di sebaliknya. Seandainya boleh di hafal, hafallah. Dalam buku asal ada tulisan Arabnya. Sekiranya berminat, baca dan hafallah juga yang berbahasa Arab. InsyaAllah sekiranya ada orang bertanya kita ada dalil dan boleh terus menjawab.
Antara tujuan saya membuat infografik ini ialah supaya kita boleh meningkatkan lagi khusyuk dalam solat dengan pengetahuan yang yakin tentang solat cara Rasulullah. Sebagaimana firman Allah s.w.t.,
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solat. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (zakat). Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian maka merekalah orang yang melampaui batas/ Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.
[Surah Al-Mukminun, ayat 1-11]
yang menegaskan, salah satu dari sikap orang berjaya ialah khusyuk dalam solat. Alhamdulillah setakat ini, bila saya mengimbas balik hadis bagi perbuatan dalam solat, ianya dapat mengembalikan fokus saya kepada solat. Semoga dapat membantu pembaca juga.
Hadis terakhir dalam infografik ini menyuruh kita supaya mengutamakan makan sebelum kita menunaikan solat. Dr MAZA menerangkan perkara ini dengan lebih baik dalam artikel diblognya yang bertajuk Solat Dulu Ataupun Makan Dulu. Dalam artikelnya, Dr MAZA menyatakan,
Dengan itu, makan dahulu setelah makanan terhidang kemudian baru bersolat adalah sunnah Nabi s.a.w.
- Solat Dulu Ataupun Makan Dulu, Dr MAZA
Saya cuma mengambil petikan sahaja, bacalah artikel oleh Dr MAZA sebab di dalamnya di sertakan dengan hadis-hadis yang lain juga. Walaupun artikel ini dikhususkan untuk bulan puasa iaitu menjawab permasalahan berbuka puasa dulu atau solat maghrib dulu, hadis-hadis dan pernyataan yang dimasukkan adalah umum supaya mengutamakan makan dahulu sekiranya makanan sudah terhidang atau apabila dikhuatiri solat akan diganggu oleh perut yang lapar.
Saya bersetuju dengan penjelasan oleh Dr MAZA yang menyertakan dalil ( hadis dan quran ) dan penjelasan akal. Namun sedikit saya ingin mencelah, sebagai orang Islam, kita tahu Rasulullah adalah contoh yang terbaik dan kita yakin bahawa Muhammad s.a.w. adalah utusan Allah dan segala yang disampaikan tentang ibadat adalah datang dari Allah. Oleh hal demikian, saya mengajak semua, marilah kita mengutamakan nas (sunnah dan al-quran) dan meletakkan logik ketepi terlebih dahulu.
Saidina Ali pernah berkata;
“Jika agama itu boleh diputuskan dengan akal, nescaya menyapu di bawah khuf (kasut orang arab) lebih logik dari menyapu di atasnya. Namun aku telah melihat Nabi s.a.w. menyapu bahagian atas dua khufnya”.
"meyapu khuf" ialah menyapu di atas bahagian kasut semasa mengambil wuduk ketika dalam musafir. Dengan ini, musafir diberi kemudahan, agar tidak perlu membuka kasutnya dan menggantikan membasuh kaki dengan menyapu khuf
Ya, saya takkan lupa untuk menasihati pembaca agar mendapatkan buku asal yang membolehkan infografik ini dibina. Malah, saya akan teruskan berpesan pada setiap artikel dalam siri ini. Untuk kebaikan pembaca sekalian, bacalah buku asal.
Perkara yang saya belajar dari segi grafik
-
Transparent (lutsinar). Lihat pada setiap teks di dalam infografik ini, pembaca akan perasan saya membungkus teks di dalam (di atas) kotak lutsinar. Penggunaan lutsinar menjadikan teks berada di atas objek lain. Selain itu, kotak lutsinar yang gelap menimbulkan teks yang cerah dan begitulah sebaliknya, iaitu kotak lutsinar warna cerah akan menjadikan tulisan warna gelap lebih jelas. Dalam infografik kali ini saya menggunakan kotak warna hitam (gelap) dengan kelutsinaran 50% dan tulisan kuning (cerah). Selain itu, kotak lutsinar juga tidak menenggelamkan latar belakangnya. Namun saya rasa sekiranya latar belakangnya ialah gambar, pasti lebih menarik. Saya masih tidak tahu memilih gambar yang sesuai. Juga saya masih tiada model untuk infografik ni. Sekiranya ada pembaca yang berminat untuk menjadi model atau mempunyai anak kecil yang ingin dijadikan model, bolehlah tinggalkan komen dan emel saya. InsyaAllah sekiranya gambar menarik saya akan gunakan untuk infografik seterusnya. ( Oh, model percuma lah ye. Tak de duit ku)
-
Semua huruf besar. Saya tidak sengaja untuk menggunakan semua huruf besar sebenarnya, tapi tulisan (font) yang digunakan ialah Code Bold percuma yang hanya ada huruf besar sahaja. Syukur, walaupun tidak sengaja, hasilnya menarik.
-
Infografik kali ini lebih menarik berbanding infografik sebelum ini, tetapi seolah-olah masih ada yang tak kena. Apa agaknya? Untuk infografik yang akan datang saya rasa saya nak guna latar belakang hitam dengan tulisan warna yang cerah. Sebab saya rasa latar belakang hitam lebih senang untuk menghasilkan infografik yang menarik.
Sekian untuk kali ini. Seperti biasa, Infografik ini, tidak di lesen dan pembaca berhak berbuat sesuka hati pembaca dan saya tidak akan bertanggungjawab.
Saya menulis kerana saya suka. Sekiranya pembaca pun suka, sebarkanlah juga kepada kawan-kawan suadara/i sekalian. Ada kesilapan dalam infografik ini? Tinggalkan komen, dan saya akan semak dan betulkan. Sudilah kiranya pembaca menghantarkan juga pembaca blog saudara seandainya pembaca meletakkan infografik ini di laman-laman lain. Sekadar permintaan.