Alhamdulillah infografik kesebelas siap.
Saya membuat keputusan untuk menghasilkan infografik sebagai ringkasan daripada pembacaan buku Solat Bersama Nabi S.A.W tulisan Muhammad Nasiruddin al-Albani terbitan Al-Hidayah Publications. Semoga infografik ini dapat membantu saya untuk mengimbas balik pembelajaran dari buku tersebut. Selain itu, saya juga berharap pembaca sekalian juga memperoleh sedikit sebanyak daripada infografik ini.
Perkara yang dibincangkan dalam infografik
Alhamdulillah usaha ini menjumpakan saya dengan duduk antara sujud mengikut sunnah. Terlalu banyak cara duduk yang dapat dilihat. Namun inilah sunnah. Hari ini, hari Jumaat. Tadi semasa solat Jumaat saya terpandang kedudukan kaki jemaah depan saya. Dua-dua orang yang duduk depan saya yang saya ternampak, tidak duduk sebagaimana sunnah yang diajarkan ini. Begitu juga saya sebelum ini. Duduk tanpa melipatkan jari kedua-dua belah kaki agak selesa, mungkin sebab itu kita melakukannya.
Tapi ingat, selesa itu datang lepas kita biasa. Jadi kalau kita tidak mulakan dengan biasakan diri dengan sunnah yang betul, sampai bila pun kita tidak akan selesa.
betulkan yang biasa, biasakan yang betul
Selain daripada duduk di atas kaki kiri, ada satu lagi hadis mengajarkan duduk iq'a. Dalam hal duduk iq'a ini ada beberapa perbezaan pendapat. Saya mengambil pendapat penulis buku sebagai tepat, kerana beliau ahli hadis. Namun, saya tidak berapa faham sangat dengan duduk iq'a yang diterangkannya sebab tiada gambar yang disertakan bersama, sekadar ayat semata-mata. Oleh sebab itu, saya menggunakan internet untuk mendapat lebih lagi maklumat.
Lalu, saya simpulkan bahawa duduk iq'a ialah duduk diatas kedua tumit dan kaki pula ditegakkan dengan melipatkan jari-jari kaki.
Dalam buku terdapat banyak lagi yang dinyatakan. Misalnya dinyatakan selepas Rasulullah s.a.w. duduk di antara dua sujud, Rasulullah turun sujud kembali. Sebab itulah duduk ini dinamakan duduk di antara dua sujud.
Selain itu, ada juga hadis mengenai duduk istirehat (duduk sebelum bangun untuk berdiri meneruskan rakaat seterusnya). Sebab hadis yang dimuatkan dalam buku asal tentang duduk istirehat ini agak sedikit, saya tidak masukkan pada infografik kali ini. Tidak cukup jelas untuk saya menerangkannya dan saya juga tidak akan membuat satu infografik semata-mata untuk duduk istirehat ini sebab hadis yang sedikit. Jadi, dengarlah nasihat saya, iaitu baca buku asal.
Terdapat penjelasan yang lebih baik di dalam buku asal. Tunggu apa lagi? Dapatkan dan baca buku asal. Pautan buku asal di atas bukanlah affiliate, dan saya tidak mendapat satu sen pun di dunia ini sekiranya pembaca klik padanya. Pembaca juga boleh buat carian di kedai buku pilihan sendiri. Tetapi jangan salah buku. Perhatikan betul-betul siapa penulisnya. Jangan lupa baca buku asal.
Perkara yang saya belajar dari segi grafik
-
Warna flat atau warna yang rata. Dalam infografik kali ini, saya tidak menggunakan gradient sedikit pun. Ini menyebabkan kelihatan agak cacat pada bahagian lipatan pelekat (sticker). Saya sengaja membiarkan gambar sebegini supaya tidak kelihatan kompleks. Apabila sesuatu yang kompleks jika tidak dilakukan dengan berhati-hati akan menghasilkan kesilapan yang agak sukar untuk dibetulkan. Jadi saya mengutamakan proses mengeluarkan infografik ini berbanding menghasilkan masterpiece. Sebab saya dah agak lari dari jadual 2-3 hari sekali.
-
Artikel pada infografik iktidal, saya mengatakan tentang belajar menggunakan fungsi Filters yang terdapat di GIMP. Kalau di sana saya gunakan Lava, di sini saya gunakan grid. Saya belajar banyak dalam proses membuat siri infografik ini. Tidak sia-sia saya mulakan siri ini.
-
Latar belakang warna pudar. Seperti yang saya jangka, latar belakang menggunakan warna yang pudar memang memudahkan tulisan untuk dibaca. Saya tidak perlu memilih warna yang sesuai, hanya gunakan hitam.
Infografik ini, tidak di lesen dan pembaca berhak berbuat sesuka hati pembaca dan saya tidak akan bertanggungjawab.
Sila tinggalkan komen dibawah, sekiranya pembaca menjumpai sebarang kesilapan dalam infografik ini. Hantarkan orang ke blog saya juga seandainya pembaca meletakkan infografik ini di laman-laman lain. Tapi bukanlah keperluan, sekadar permintaan.