Sifat Solat Nabi 04 - Niat dan Takbir

Nak perkembangan terbaru tentang fajarhac dan projek 11 startup 11 bulan (#11s11b) dengan segera? Sila follow saya di Twitter @fajarhac.

Alhamdulillah infografik keempat berjaya disiapkan.

infografik niat dan takbir - solat ikut Nabi

Saya membuat keputusan untuk menghasilkan infografik sebagai ringkasan daripada pembacaan buku Solat Bersama Nabi S.A.W tulisan Muhammad Nasiruddin al-Albani terbitan Al-Hidayah Publications. Semoga infografik ini dapat membantu saya untuk mengimbas balik pembelajaran dari buku tersebut. Selain itu, saya juga berharap pembaca sekalian juga memperoleh sedikit sebanyak daripada infografik ini.

Perkara yang dibincang dalam infografik kali ini

Pada infografik kali ini, saya memasukkan hadis-hadis berkaitan dengan niat dan takbir, atau selalu di ajarkan sebagai takbiratul ihram.

Perkara pertama ialah niat. Hadis tentang kepentingan niat. Dalam buku Hadis 40, Imam Nawawi memasukkan hadis tentang pentingnya niat pada hadis yang pertama.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab r.a. katanya :

“Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : ” Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kerana Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang hijrah kerana dunia yang akan diperolehnya, atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.”

[semak kitab Hadis 40 oleh Imam Nawawi: hadis no 1]

Oleh sebab itu, saya mengajak kita untuk memulakan segala perbuatan dengan niat kerana Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kaya, dan tiadalah perkara yang lebih menguntungkan selain melakukan sesuatu kerana Allah. Dalam buku asal (Solat Bersama Nabi S.A.W.), Imam Muhammad Nasiruddin al-Albani menambah di nota kakinya, bahawa tidak dinyatakan dalam hadis tentang memulakan solat dengan mengucap “Nawaitu an Usolli … “. Penulis buku menambah lagi dengan menyatakan perbuatan melafazkan niat ini adalah bidaah (perkara yang diada-adakan).

Saya juga hairan sama seperti dengan pembaca sekalian, sekiranya tidak ada, kenapa kita diajar? Jawapannya ada dalam buku ini, iaitu perkara tentang lafaz niat ini ada dalam perbincangan para ulama. Para ulama berbeza pendapat sama ada ucapan ini termasuk dalam bidaah hasanah (baik) atau bidaah sayyiah (buruk). Tolong saya untuk tolong saudara/i sekalian, baca buku asal supaya pembaca lebih jelas dan nyata. Saya bersetuju dengan pegangan penulis iaitu bidaah dalam ibadat adalah sesat. Dengan itu, saya mengajak semua, meninggalkan perbuatan lafaz niat yang diajarkan kepada kita semasa kita kecil-kecil dulu.

Akhirnya sampai juga ke bab perbuatan dalam solat, iaitu takbiratul ihram. Takbir di sini bererti mengucapkan perkataan “الله اکبر “ (Allahu Akbar ) bukannya perbuatan mengangkat tangan. Saya ulang maksud takbir di sini ialah perbuatan menggerakkan lidah untuk menyebut “Allahu Akbar”. Seandainya pembaca sama seperti saya, syukurlah sebab perbuatan ini sama dengan apa yang selalu diajar dan dibuat oleh kebanyakan kita. Ditambah dengan hadis cara mengangkat tangan separa dengan cuping telinga juga perkara yang bukan asing. Cuma hadis juga mengatakan mengangkat tangan sejajar dengan bahu, jadi selain dari perbuatan biasa, sekali-sekala marilah juga kita amalkan mengangkat tangan sejajar bahu ini kerana mungkin ada hikmah yang tidak diketahui kita.

Berkenaan dengan hadis,

Rasulullah S.A.W. bersabda

“Kunci solat adalah bersuci, pengharamnya adalah takbir dan penghalalnya adalah salam.”

[HR Abu Daud dan Tirmizi dan al-Hakim]

maksud pengharamnya ialah pengharaman dari perbuatan yang diharamkan Allah s.w.t. (dalam solat), dan maksud penghalalnya adalah menghalalkan perbuatan orang di luar solat.

Semoga Allah memaafkan kita dengan kesilapan yang lalu, dan marilah kita mengamalkan hadis-hadis yang jelas ini. Infografik dan artikel ini hanyalah ringkasan, baca buku asal untuk penjelasannya. Saya nasihatkan pembaca sekalian baca buku asal.

Perkara yang saya belajar dari segi grafik

  1. Latar belakang yang kabur. Teknik yang semakin popular (terkenal) di akhir-akhir ini. Tak percaya? Lihat iphone. Ini kali pertama saya menggunakan latar belakang yang kabur, jadi saya tak pasti sama ada, tulisan yang digunakan sesuai atau tidak. Saya cuba mengambil grafik-grafik orang lain sebagai ilham, harap-harap tulisan light (halus) ini tidak menyusahkan para pembaca. Saya tidak meletakkan bayang-bayang di belakang tulisan kerana merasakan tidak sesuai.

  2. Menggunakan pinterest. Saya menggunakan pinterest untuk melihat bagaimana sebuah infografik menjadi menarik. Kemudian, saya jadikannya sebagai ilham untuk infografik ini. Pada mulanya saya ingin menggunakan gambar sebagai latar belakang, dan juga gambar orang yang sedang solat sebagai gambaran jelas terhadap maksud hadis. Namun, saya tidak suka untuk menjadi model dan tidak tahu untuk minta tolong siapa yang ingin jadi model. Mungkin masa-masa mendatang saya akan mempergunakan anak saudara saya sebagai model. Itu pun kalau boleh dikawal dan disetujui oleh ibu bapanya (kakak dan abang ipar saya).

  3. Inkscape. Inkscape ialah sebuah perisian vektor grafik. Saya gunakannya untuk menghasilkan ikon-ikon orang solat dan tangan orang. Pembaca juga boleh perasan di infografik sebelum ini pun saya gunakan Inkscape untuk tujuan reka ikon seperti masjid dan lain-lain. Sekarang saya sudah mula selesa menggunakan Inkscape. Jika melihat kepada infografik di luar sana, misalnya yang terdapat di Freepick, kebanyakannya dihasilkan menggunakan perisian vektor grafik iaitu Adobe Illustrator. Jadi saya rasa mungkin menggunakan Inkscape untuk infografik lebih tepat berbanding menggunakan GIMP. Saya tidak guna Inkscape kerana saya lebih selesa menggunakan GIMP. Buat masa ini, saya akan gunakan GIMP lagi, tetapi saya mungkin akan bertukar menggunakan Inkscape di masa hadapan. Walaubagaimanapun, pengguna tidak perlu risau, seandainya saya gunakan GIMP sekalipun, saya akan sentiasa menukar ke format PNG di web ini. Sekiranya ada permintaan, saya juga akan memuatnaikkan SVG. Seronok sahaja bercakap, belum pun guna Inkscape lagi.

Yes!! Infografik kali ini tidak menggunakan satu pun grafik dari Freepick, semua buat sendiri.

Infografik ini, tidak di lesen. Pembaca berhak berbuat sesuka hati pembaca dan saya tidak akan bertanggungjawab.

Sila tinggalkan komen dibawah, sekiranya pembaca menjumpai sebarang kesilapan dalam infografik ini. Hantarkan orang ke blog saya juga seandainya pembaca meletakkan infografik ini di laman-laman lain. Tapi bukanlah keperluan, sekadar permintaan.

⬅ Sifat Solat Nabi 03 - Sutrah BARU Sifat Solat Nabi 05 - Kedudukan Tangan dalam Solat Semasa Berdiri ➡

Artikel Terkini

Follow saya di Twitter @fajarhac

comments powered by Disqus