Alhamdulillah Web Nasihat Baru Kini Boleh Diakses

November 18, 2016

Alhamdulillah, web nasihat yang baru sekarang sudah boleh diakses di laman nasihat.fajarhac.com. Maklumat tentang projek ini boleh dilihat di halaman projek Nasihat.

Asalnya sekadar nak redesign tapi ter- rewrite

Pada suatu hari, saya berjalan-jalan mencari inspirasi tentang web design. Ditakdirkan terjumpalah satu design web yang cantik di dribble hasil tangan Nurul Izwan Dahlan @baliomega. Design tu pula memang kena dengan projek web nasihat saya yang lama guna Laravel.

hadith web app design by @baliomega dribble Sumber: Image by @baliomega dribble

Tertawan dek design tu, saya pun berusahalah untuk tiru. Lagipun, sememangnya design bukan kekuatan saya.

Cuma, dalam masa yang sama, saya sudah agak selesa dengan node.js berbanding Laravel. Tambahan, Laravel yang mengalami perubahan besar dari versi 4 ke versi 5, membuatkan saya rasa serabut.

Dahlah Laravel sendiri pun dah cukup besar, ditambah lagi dengan perubahan yang besar. Makan masa untuk guna Laravel ni kot. Jadi saya ambil keputusan untuk tulis balik web nasihat guna node.js dan Express sahaja.

Pastu saya jumpa komen saya sendiri tentang web Nasihat lama, bahawa, guna Laravel bukanlah yang terbaik, sebab web kecil begini lebih sesuai guna Lumen. Nampak? Keputusan yang terbaik apabila tulis balik guna Express.

Sumber terbuka dan perlukan sumbangan anda

Projek ini sumber terbuka di bawah lesen MIT. Saya perlukan bantuan dari anda semua yang lebih mahir dari pelbagai bidang untuk membangunkan lagi projek ini.

Macam yang saya kata, design bukanlah kekuatan saya. Siapa yang lebih seni dalam design boleh tolong beri idea atau sunting terus je kod.

Jika anda banyak pengetahuan agama, tolong saya, betulkan mana-mana kesilapan.

Siapa yang ada masa untuk isi maklumat dalam halaman-halaman yang belum lengkap. Boleh berikan idea.

Siapa yang pandai SEO, boleh beri cadangan untuk menjadikan web nasihat ini lebih berguna dan mudah orang jumpa.

Siapa yang ternampak adalah salah eja, salah kod, silalah bantu saya. Saya manusia selalu silap, selalu lupa. Saya Melayu, mudah lupa 😊.

Tetapi saya minta maaf, bahagian ayat Quran dan hadis yang nak dimasukkan, saya tak bagi orang. Saya nak isi sendiri.

Kebaikan web nasihat

Tujuan utama projek Nasihat adalah untuk menarik kita semua umat Islam membiasakan diri dengan kata-kata Allah dan sunnah Rasulullah.

Bayangkan hari ini, anda baca (baca bukan dengar) terjemahan petikan surah al-Mukminin ayat 1-11 dari web nasihat. Sesuatu yang dibaca lekat lebih lama dalam kepala. Beberapa hari kemudian, kita yang suka dengar rancangan agama dari TV, YouTube atau perkongsian di laman sosial, terjumpalah dengan video yang menggunakan petikan yang sama. Otak kita akan memanggil ingatan tentang kita pernah membacanya. Kita tahukan apa yang terjadi apabila sel-sel otak berhubung?

Apabila sel-sel otak berhubung, kita lebih belajar, kita lebih faham, kita lebih mudah untuk beramal.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyang. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahaya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyang. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.

Islam adalah agama yang menyeluruh dalam kehidupan. Tapi apabila kita malas belajar, tinggallah agama sebagai suatu perkara yang terikat pada tempat dan masa.

Saya berharap dengan web ini yang mengingatkan setiap hari, kita biasakan dengan sumber utama agama. Semoga membaiki kita dalam kehidupan harian.

Sekian

Akhir sekali saya nak beritahu tentang kos. Sekarang web nasihat berkongsi server dengan web-web saya yang lain. Server ini memakan kos kurang lebih RM 50 sebulan.

Dulu, saya luangkan masa 1-3 jam seminggu untuk pilih dan tulis ayat-ayat Quran dan hadis. Tak tahu lagi bila nak mula balik.

Saya sebenarnya tak de buku-buku yang cukup untuk dijadikan rujukan. Kalaulah saya boleh dapat buku seperti tafsir Ibnu Katsir dan buku hadis yang 6 tu (kutubus sittah, 6 kitab) alangkah senangnya. Saya tak pandai bahasa Arab. Kenapalah buku terjemahan ke bahasa Malaysia agak mahal rasa-rasanya? Perpustakaan ada kot, tapi tak rajin.

Apa pendapat pembaca sekalian? Bagaimana nak dapat duit untuk cover kos-kos tu? Tapi, sebelum itu, saya cakap dulu, saya takut nak letak butang donate kat web, sebab takut termasuk dalam golongan yang menjual ayat Allah atau golongan yang meminta-minta.

2023, Built with Gatsby

Hire MeNota & idea